KETIKA jutaan umat Islam bersiap sedia untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima di Tanah Suci, ada sebahagian saudara kita diselimuti kedukaan banjir.
Ketika seluruh umat Islam dunia bersiap untuk merayakan Aidiladha atau hari raya haji atau hari raya korban, ada sebahagian saudara kita kurang bernasib baik kerana ditimpa bencana banjir. Ketika ribuan umat Islam yang berkemampuan di Malaysia mempersiapkan diri untuk menyembelih haiwan korban pada hari berkenaan, ada sebahagian saudara kita masih berjuang dengan kesan bencana yang menimpa mereka.
Sememangnya umat Islam sedar dan peka kelebihan ibadat korban yang setiap kali kedatangan Aidiladha, amalan korban diadakan di masjid, surau, sektor awam dan swasta. Malah, tidak kurang juga mengadakan ibadat korban secara persendirian di rumah masing-masing. Dengan adanya amalan ibadat korban sedemikian, jelas membuktikan wujudnya suasana kerjasama dan saling membantu antara semua pihak.
Permasalahan fikah yang boleh ditimbulkan adalah bolehkah mengalihkan wang yang dikeluarkan untuk menyembelih haiwan korban kepada mangsa banjir, iaitu tanpa membeli haiwan korban? Sebagai contoh, jika wang terkumpul untuk membeli haiwan korban sebanyak RM20 juta (50,000 x RM400), kemudian kita agihkan wang itu kepada mangsa banjir tahun ini di tiga negeri terjejas akibat banjir yang berjumlah kira-kira 33,000 untuk meringankan beban mereka.
Bukankah itu lebih bermanfaat daripada menyembelih haiwan untuk keperluan 'perut' saja? Padahal ia boleh digunakan untuk semua keperluan mangsa banjir, termasuk membaik pulih rumah yang rosak dan kehilangan harta benda.
Bagi sesetengah pihak, cadangan ijtihad fikah itu nampak logik dan lebih berguna. Tetapi, dari sudut pandang syariat Islam, cadangan itu tidak menepati inti pati ajaran pensyariatan menyembelih haiwan korban yang antara inti pati ajarannya adalah seperti disebutkan dalam sebuah hadis bermaksud:
"Dari Aisyah RA bahawasanya Rasulullah bersabda: Tiada sesuatu amalan yang dikerjakan anak Adam pada hari raya haji yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah. Bahawasanya ia (korban) datang pada hari kiamat dengan tanduk, bulu dan kukunya, dan bahawasanya darah (korban) mendapat tempat mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati bersih." (Hadir riwayat at-Tarmizi)
'Menumpahkan darah' dengan pengertian menyembelih haiwan korban pada hari berkenaan mengikut hadis adalah inti pati ajaran ibadat korban, bukan mengumpulkan wangnya. Jika darah boleh digantikan dengan wang ringgit dalam korban maka, isi hadis itu juga tidak akan tepat kerana di dalamnya disebutkan 'darah itu tumpah ke bumi' bukan wang tumpah ke bumi.
Satu perkara lain yang perlu diimani dalam pensyariatan ibadat korban adalah firman Allah bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lain) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang ternak yang disembelih itu." (Surah al-Hajj: 34) Ayat Perkara itu berlaku selepas ayat yang menyebutkan bahawa ibadat korban adalah satu 'syiar' atau lambang agama Allah iaitu maksudnya: "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat takwa hati orang mukmin." (Surah al-Hajj: 32)
"Syiar agama Allah atau syiar Islam," tulis Sheikh Abdullah, "ialah amal ibadat yang zahir dan benda yang berhubung dengan agama yang melambangkan agama Allah. Misalnya, ibadat haji ialah bertawaf, bersaei dan berwukuf di Arafah. Begitu juga binatang ternak yang dijadikan korban atau yang dijadikan hadiah kepada fakir miskin yang ada di Makkah. Menghormati perintah Allah mengenainya, maksudnya: 'Korban' itu hendaklah dipilih daripada binatang ternak yang gemuk dan sempurna keadaannya." (Nota 1034)
Jika kita menggantikan binatang korban dengan wang, sudah tentu tujuan ayat berkenaan tidak tercapai kerana wang tidak boleh disembelih dan ia juga tidak ada istilah wang gemuk dan wang kurus kerana wang hanya mempunyai satu nilai.
Ibadat korban terbahagi kepada dua iaitu korban nazar dan korban sunat. Yang pertama disebut wajib disedekahkan seluruhnya, manakala kedua dilakukan sama ada semua daging korban itu disedekahkan kepada fakir dan miskin serta orang yang berkorban boleh mengambil sedikit sekadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripada korban itu atau daging korban itu dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu satu pertiga disedekahkan kepada fakir miskin, satu pertiga dihadiahkan kepada umat Islam dan satu pertiga lagi untuk orang yang berkorban. Hukum ini berdasarkan kepada ayat bermaksud: "Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin." (Surah al-Hajj: 28) Dan juga ayat yang bermaksud: "Maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta." (Surah al-Hajj: 36)
Semangat pengagihan daging korban inilah yang mesti kita pupuk dan semai di kalangan umat Islam. Dalam ibadat korban, ada jalinan kasih dan persaudaraan yang tidak ternilai harganya di antara umat Islam yang dipersiapkan Allah Taala. Betapa tidak, kita melihat dalam ibadat korban ada orang mampu menyembelih haiwan korban yang diagihkan kepada golongan tertentu dalam masyarakat. Bukankah ia akan mempererat lagi hubungan silaturahim di kalangan mereka?
Ibadat korban disunatkan Rasulullah sebagai latihan dan ujian bagi kaum Muslimin untuk memupuk semangat berkorban dengan cara mengeluarkan sebahagian kecil nikmat dan rezeki yang dilimpahkan Allah untuk dirasai golongan fakir miskin, sekali gus memanifestasikan syiar Islam itu.
Antara hikmah dan nilai murni pensyariatan korban adalah untuk melatih dan membentuk sahsiah peribadi umat Islam supaya sentiasa bersedia berkorban dengan sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Tuhan demi kepentingan orang lain. Ia juga sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Allah, at-taqarrub seperti yang kita ikrarkan dalam sembahyang lima waktu: "Sesungguhnya solatku, hidupku, ibadahku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah. Dengan penyembelihan binatang korban itu, boleh dinikmati oleh diri orang yang berkorban itu sendiri, kaum keluarga jiran tetangga dan sahabat handai seluruhnya.
Umat Islam yang mampu digalakkan menyembelih binatang korban, sama ada hukumnya sunnah muakkadah atau wajib, terpulang kepada ijtihad masing-masing berdasarkan hadis yang bermaksud: "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu." (Hadis riwayat at- Tirmidzi) Di samping itu ada hadis berbunyi maksudnya: "Barang siapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi tidak dilakukannya, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini." (Hadis riwayat Ahmad dan Ibni Majah) Dalam hadis ini nilai kemasyarakatan dalam ibadat korban yang dibebankan ke atas orang yang mampu sangat jelas, bahkan ia adalah amaran Nabi kepada mereka di mana jika mereka tidak mahu melakukannya bersiap-siaplah mereka untuk diasingkan daripada khalayak umat.
Junjungan kita bersabda dalam hadis yang masyhur maksudnya: "Perbandingan dan perumpamaan orang beriman itu dari sudut saling berkasih dan bertimbang rasa sesama mereka adalah seumpama satu tubuh badan manusia apabila suatu anggotanya berasa sakit maka seluruh tubuh badan itu akan menderita tidak lelap tidur dan diserang demam."
Dalam keadaan sekarang yang sebahagian daripada kita sedang ditimpa musibah banjir, manakala di pihak lain kita akan menyembelih korban, maka semangat hadis ini mesti kita jelmakan dalam melaksanakan ibadat korban.
Berkorban adalah sebagai tanda syukur kepada Allah Taala terhadap nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kita dan menanamkan nilai murni yang digalakkan Islam ke dalam jiwa seperti sifat belas kasihan, sikap penyayang, bekerjasama, suka menolong dan bersedekah.Antara fadilat berkorban adalah menambah amal kebajikan seperti disabdakan Rasulullah maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan." (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim). Di samping itu, ia sebagai penebus dosa seperti disabdakan Baginda makudnya: "Hai Fatimah, berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang lalu." (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
Oleh itu, tidakkah cukup kebajikan dan penghapusan dosa bagi pihak yang menyembelih sedangkan dagingnya dengan pelbagai cara pemanfaatan yang dibenarkan syarak diserahkan kepada saudara kita yang menjadi korban banjir kerana ada di antara mereka yang fakir miskin atau handai taulan, walaupun kaya di mana kedua-duanya termasuk golongan yang boleh menerima daging korban sebagai sedekah atau hadiah, sama ada mahu dimakan atau dijual mengikut syaratnya. (Rujuk Mughni al-Muhataj, IV/290-91) Bismillahi Allahu Akbar.
KETIKA jutaan umat Islam bersiap sedia untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima di Tanah Suci, ada sebahagian saudara kita diselimuti kedukaa...
About author: Nije
Seorang Online Internet Marketer
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comentários:
Post a Comment